Forensik digital untuk orang awam

Forensik digital untuk orang awam

Kuala Lumpur: Jika sebelum ini pihak berkuasa hanya menggunakan kepakaran forensik digital yang disediakan CyberSecurity Malaysia untuk siasatan kes tertentu, kini perkhidmatan sama ditawarkan agensi itu kepada orang ramai menerusi Klinik MyCyberSecurity (MyCSC).

Melalui MyCSC, orang ramai boleh menghantar peranti mereka untuk mengembalikan data yang hilang, pembersihan data atau sanitasi dan pembaikan kerosakan fizikal peranti menggunakan teknologi serta kepakaran diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Perkhidmatan yang dipercayai.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, elemen paling penting ditawarkan MyCSC ialah menyediakan perkhidmatan yang dipercayai orang ramai.

“Kita sedia maklum mengenai kes gambar, video atau maklumat peribadi individu tertentu tersebar selepas menghantar peranti untuk dibaiki atau dijual di kedai. Risiko memang berlaku, malah memadam atau memformat komputer atau telefon bimbit tidak menjamin apa-apa kerana data itu mudah dipanggil semula menggunakan perisian tertentu.

“Agensi kerajaan juga berdepan risiko sama apabila mahu melupuskan komputer pejabat kerana maklumat sensitif yang disimpan boleh didapatkan semula seterusnya mungkin berdepan risiko ugutan.

“Jadi peranan dimainkan MyCSC menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai. Kami menyediakan perkhidmatan membantu siasatan forensik digital untuk pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jadi MyCSC menawarkan pertolongan hampir sama kepada orang ramai,” katanya.

Prosedur teliti dan ketat.

Turut hadir, Pengurus Industri dan Pembangunan Perniagaan CyberSecurity Malaysia Izwadee Hamzah.

Amirudin berkata, dengan latar belakang CyberSecurity Malaysia, orang ramai mendapat jaminan, data atau maklumat peribadi mereka akan dilindungi sepanjang proses pembaikan dilakukan.

“Malah hanya seorang juruteknik akan melakukan tugas baik pulih peranti itu dari mula sehingga akhir selain prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menjamin kepercayaan pelanggan,” katanya.

Program Pembangunan Keusahawanan (EDP).

Beliau berkata, sejak MyCSC dilancarkan pada 2014 turut dilaksanakan ialah Program Pembangunan Keusahawanan (EDP) teknologi maklumat (IT) untuk melatih usahawan IT.

“Kami menawarkan sistem latihan keusahawanan IT yang memegang elemen sama iaitu jaminan kepercayaan pelanggan.

“Setakat ini, kerajaan Perak menubuhkan tiga Klinik MyCyberSecurity menerusi kaedah premium francais dan beberapa lagi kerajaan negeri serta pihak persendirian berminat membuka MyCSC,” katanya.

Menurutnya, selain menawarkan perkhidmatan pemulihan data, MyCSC turut menjadi tempat orang ramai mengemukakan aduan kepada pusat bantuan Cyber999.

Amirudin berkata, MyCSC adalah satu-satunya makmal forensik digital di Asia Pasifik yang mempunyai pengiktirafan antarabangsa.

“Sebenarnya, ramai yang tidak faham mengenai kepentingan menjaga data peribadi dan saya tekankan bahawa pentingnya konteks memelihara data.

“Sesetengah kedai komersial boleh baik pulih atau memulih data tetapi istimewa di sini ialah kepercayaan kerana MyCSC adalah sebuah agensi kerajaan yang memenuhi kriteria antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

About Fix & Go

We will help your organization find the best IT solutions to meet your business strategy.

Headquater

No 10B, Medan Pusat Bandar 1, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

+603 8923 1058
[email protected]

Office Hours
Mon - Fri 08:30 - 17:30

Outlet

No. 1, Jalan Medan Pusat Bandar 3A, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

+603 3310 0007
[email protected]

Store Hours
Mon - Sat 09:00 - 18:00